Sunday 3 June 2012

300 Belia Hadiri Konvensyen Belia Negeri Sarawak 2012.

MIRI: Dijangka seramai 300 orang belia dari bahagian ini akan menghadiri Konvensyen Belia Negeri Sarawak 2012 yang akan diadakan pada 9 Jun 2012 bertempat di Dewan Besar, Institut Kemahiran Belia Negara, Miri.

Konvensyen ini anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak merupakan pengisian sempena sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2012.

Konvensyen ini nanti akan dihadiri oleh golongan belia yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga merupakan aktivis-aktivis belia.

Dalam pada itu, menurut jurucakap Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri, Encik Hamzah Md. Tahir objektif penganjuran Konvensyen ini untuk menanamkan semangat perpaduan dan muhibah di kalangan golongan belia berbagai bangsa yang mengamalkan agama, budaya dan adat resam yang berbeza bagi meneruskan pembangunan modal insan di negara ini selari dengan konsep “ 1 Belia 1 Malaysia”.

Beliau turut menambah, golongan belia perlu didedahkan dengan informasi yang terkini memandangkan golongan ini perlu lebih peka terhadap keadaan semasa samada dalam negeri mahupun di luar negeri.

Justeru itu, pelaksanaan program-program penerangan perlu ditingkatkan dan diberi penekanan bagi mempastikan golongan belia ini tidak mudah terpengaruh kepada anasir luar yang tidak menunjukkan situasi sebenar.

Turut dibentang semasa Konvensyen itu nanti, 3 kertas kerja iaitu ‘Cabaran Belia Dalam Dunia Pekerjaan: Satu Realiti’ oleh Jabatan Tenaga Kerja Miri,Sarawak.

Kertas kerja kedua bertajuk ‘Belia Penentu Halatuju Kepimpinan Negara: Dari Perspektif Politik’ oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri dan kertas kerja ke tiga bertajuk ‘Karier Kemahiran vs Makan Gaji, Mana Anda Pilih?’ oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri.

Majlis Perasmian Konvensyen itu nanti dijangka akan dirasmikan oleh Y.B. Tuan Haji Abd Karim Rahman Bin Hamzah, Menteri Muda Hal Ehwal Pembangunan Belia dan akan turut dihadiri oleh Residen Bahagian Miri, Encik Antonio Kahti Galis, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak, Encik Affandi Keli, Pemangku Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Haji Razali Mohamad, Setiausaha Eksekutif SABERKAS Kuching, Encik Izzuan Haroni dan Pengarah IKBN Miri, Encik Shamsul Tahrin Mohd Tahir.

No comments:

Post a Comment