Thursday 28 June 2012

60 PEGAWAI BELIA DAN SUKAN, PEGAWAI AGENSI KERAJAAN, JURULATIH, TEKNIKAL, SUKARELAWAN DAN NGO HADIRI KURSUS PENGENDALIAN ORANG KELAINAN UPAYA (OKU)

MIRI: Dianggarkan seramai 60 orang Pegawai Belia dan Sukan, Pegawai Agensi Kerajaan, Jurulatih, Teknikal, Sukarelawan dan NGO akan menghadiri Kursus Pengendalian Orang Kelainan Upaya (OKU) Peringkat Zon 2012 yang akan diadakan selama 3 hari 2 malam bermula pada 29 Jun hingga 1 Julai 2012 bertempat di Hotel Dynasty, Miri.

Program ini merupakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan dan Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya (PESRON) Negeri Sarawak.

Program ini nanti akan dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Belia dan Sukan, Pegawai-Pegawai Agensi Kerajaan, Jurulatih, Teknikal, Sukarelawan dan NGO dari Sabah, Labuan dan Sarawak. Dalam pada itu, menurut Ketua Pejabat, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri, Encik Mohammad Shukeri Bin Drahman, Objektif kursus ini adalah untuk mempromosikan dan mengembangkan aktiviti-aktiviti Sukan Paralimpik kepada masyarakat luar dan melahirkan lebih ramai sukarelawan yang mahir dan pakar dalam pengendalian masyarakat OKU. Beliau juga menambah, Program yang seumpama ini dilaksanakan untuk merancang dan melaksanakan program latihan yang lebih tersusun dan bersistematik dengan mengambil kira pendekatan ilmu sains sukan agar mendapat hasil yang lebih membanggakan. Malah ia juga diharap dapat melahirkan lebih ramai sukarelawan yang mahir dan pakar dalam pengendalian masyarakat OKU. Dengan kejayaan demi kejayaan yang berjaya ditempah oleh Negara, program seperti ini diharapkan dapat terus membaiki mutu skuad Paralimpik Malaysia sekaligus mengharumkan lagi nama Negara di pesada sukan antarabangsa.


Sementara itu, menurut Pegawai Penyelaras Program, Encik Mohd Soffi bin Azizan berkata, Program seperti ini sangat baik dan diharapkan dapat diperbanyakkan lagi untuk memastikan semua golongan rakyat Malaysia, OKU khususnya tidak ketinggalan untuk memberi sumbangan serta tidak dipinggirkan dalam apa juga aktiviti kemasyarakatan mahupun sukan. Beliau turut menambah, Kontinjen Negara pernah meraih 1 gangsa diraih oleh P.Mariapan pada tahun 1988 di Seoul. Pada tahun 1992 di Barcelona 1 perak dimenangi oleh Cheok Kon Fatt (Powerkifting) dan 2 gangsa dimenangi oleh P.Mariappan (Powerlifting) dan Mohd Khasseri Othman (Olahraga). Penantian selama 16 tahun berakhir dengan kejayaan Siow Lee Chan meraih 1 gangsa di Beijing pada tahun 2008 dari sukan Powerlifting. Antara sukan yang pernah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Beijing 2008 ialah olahraga, powerlifting, renang, memanah dan pelayaran.

Peserta-peserta program selama 3 hari 2 malam tersebut akan didedahkan beberapa siri ceramah dan taklimat yang akan diketuai sepenuhnya oleh Prof. Madya Dr. Tiun Ling Ta dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Antara ceramah yang bakal dibentangkan adalah Pengenalan OKU, Memahami Golongan ID, Memahami Penglihatan OKU, Peranan Sukarelawan dan cara Interaksi dengan OKU, Memahami Fizikal OKU, Memahami Pendengaran OKU, Memahami Undang-Undang Berkaitan OKU 2008, Memahami Keperluan dan Spesifikasi Kemudahan OKU dan Cara Berinteraksi dengan OKU.

No comments:

Post a Comment