Monday 4 March 2013

MENDIANG ASP MICHAEL PADEL AKAN DISEMADI DI MAKAM PAHLAWAN SARAWAK






Mendiang ASP Michael Padel, 36, pegawai polis yang terkorban semasa serang hendap oleh kumpulan penceroboh bersenjata di Semporna, Sabtu lepas akan disemadikan di Makam Pahlawan di sini Rabu ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani hari ini berkata kerajaan negeri Sarawak telah mengarahkan supaya mendiang Michael disemadikan bersama-sama pahlawan Sarawak di makam itu yang termasuk penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB) Datuk Temenggung Kanang Langkau yang meninggal dunia Januari lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara penghormatan terakhir untuk mendiang Michael di Pangkalan Udara Pasukan Gerakan Udara Polis di sini, beliau berkata upacara pengebumian dijangka bermula pukul 11 pagi.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mendahului upacara penghormatan terakhir yang berlangsung dalam suasana pilu.

Sebelum itu, pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa mendiang Michael yang diiringi isterinya, Jabah Mingku, 35, dan anaknya Macluie Michael, 11, tiba kira-kira 5.30 petang, sebelum kerandanya dibawa keluar ke pusat pangkalan itu untuk upacara penghormatan terakhir.

Suasana pilu menyelubungi upacara itu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang termasuk warga polis dan tentera di sini. Selesai upacara itu, mayat mendiang Michael dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Tebakang, Serian, kira-kira 50km dari sini.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment