Sunday 3 March 2013

KENYATAAN MEDIA PDRM!!!!



KEDUDUKAN ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN DIPERKUKUH DAN BERSEDIA

Lahad Datu, 3 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menegaskan bahawa keselamatan di Sabah terutama di tiga lokasi berlaku pencerobohan kumpulan bersenjata adalah terkawal.

"Saya juga telah memanggil Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin) untuk mengukuhkan kedudukan dengan mengambil kira apa yang berlaku di tiga lokasi itu.

"Mereka juga dalam keadaan bersedia untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di Residental Felda Sahabat kira-kira 130 kilometer dari sini. 

Beliau merujuk kepada tiga situasi iaitu penahanan tiga anggota penceroboh yang cuba keluar dari kawasan kepungan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, lima anggota polis mati ditembak di Kampung Seri Jaya Simunul di Semporna dan laporan pencerobohan 10 lelaki di Kampung Lumalong dan Kampung Dasar Lama di Kunak.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Zulkifeli, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Ismail meminta orang ramai agar jangan mempercayai khabar angin dan berita yang tidak disahkan oleh polis tentang apa yang berlaku di negeri ini.


Beliau berkata orang ramai tidak perlu membuat andaian melainkan disahkan pihak berkuasa terutama jika berdasarkan laporan di media sosial dan komunikasi lain.


Ismail sekali lagi menegaskan bahawa sehingga hari ini polis tidak pernah mengeluarkan perintah berkurung kepada penduduk di negeri ini.


Beliau turut memberi jaminan keselamatan kepada pelancong yang ingin datang ke negeri ini untuk bercuti. Sementara itu, Zulkifeli dalam sidang akhbar sama berkata penduduk di negeri
ini terutama masyarakat setempat di daerah ini tidak perlu bimbang kerana situasi adalah terkawal dan pihaknya berkerjasama rapat dengan polis dalam menangani situasi keselamatan.

"Saya dan Ketua Polis Negara telah merancang sesuatu dan kami boleh tangani situasi ini dengan kawalan keselamatan yang ketat," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya penduduk di daerah ini, Semporna dan Kunak menjalani kehidupan seperti biasa.

Zulkifeli berkata bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka, dua lagi batalion tambahan tentera dihantar hari ini dan ditempatkan di beberapa kawasan di kawasan pantai timur negeri ini.- BERNAMA 

SUMBER: BELIA BANGKIT

No comments:

Post a Comment