Monday 27 February 2012

PESTA BUNGIN SARIBAS 2012

SARIBAS, Jumaat - Orang ramai dijemput datang beramai-ramai memeriahkan Pesta Bungin 2012 yang akan berlangsung selama tiga hari di Kampung Bungin dekat sini pada 16 hingga 18 Mac akan datang.

Pesta yang sememangnya terkenal dalam kalangan masyarakat Bahagian Betong ini merupakan anjuran Ranting PBB Kampung Bungin, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bungin, Komuniti 1Malaysia Kampung Bungin, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dan Belia Kampung Bungin.

Pengerusi Pesta Bungin 2012, Hj Abg Morni Abg Ahmad berkata, penganjuran pesta berkenaan antara lain bertujuan memperkenalkan Kampung Bungin seterusnya memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenalinya dengan lebih dekat lagi.

Katanya, sejajar dengan semangat 1Malaysia, Pesta Bungin ini dharap dapat menjadi platform untuk merapatkan masyarakat umum dengan pelbagai pprogram yang diselitkan sepanjang pesta itu berlangsung.

"Kita amat yakin melalui Pesta Bungin ini, ia adalah landasan yang terbaik untuk mendekatkan setiap masyarakat di sini tidak kira kaum mahupun agama.

“Jadi, kita berharap, pesta ini nanti mampu merapat dan mengeratkan lagi hubungan kaum dan semangat perpaduan antara kita seiring dengan slogan 1Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambahnya, pesta ini diharap bukan saja dapat menyajikan hiburan kepada penduduk setempat malah penganjurannya sudah pasti mengundang kebanjiran pengunjung bukan saja penduduk setempat malah dari daerah lain.

"Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang pesta ini berlangsung untuk disaksikan dan disertai oleh orang ramai," jelasnya.

Menurutnya, Majlis Perasmian pesta tersebut dijangka akan disempurnakan oleh Menteri SUmber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas pada 17 Mac jam 10 pagi.

Jelas Hj Abg Morni, pada masa ini pihaknya masih dalam perancangan dari setiap sudut bagi memastikan pesta ini berjalan lancar.

Sementara itu, sesuatu pesta pasti tidak akan lengkap tanpa sebarang pertandingan dan acara bagi memeriahkannya.

Katanya, antara acara yang bakal menjadi tumpuan adalah acara regata yang terdiri daripada Sakai (30, 25, 20, 15 dan 10), Lumba Pecut (20 dan 15), Lumba Ski Enjin Pam dan Lumba Perempuan (15).

Selain itu, acara lain yang turut menemui orang ramai ialah pertandingan bola sepak (sembilan sebelah yang terbuka kepada jemputan), Pertandingan Suara Emas, Pertandingan Bertandak Kanak-kanak serta pasarneka yang juga terbuka kepada orang ramai.

"Selain itu, turut diadakan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan serta swasta, pasarneka dan pentas kebudayaan.

"Jadi, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke pesta ini dan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang diatur sebagai pengisian program," ujarnya.

Jelasnya, tapak pesta berkenaan yang berada di kawasan strategik iaitu di tengah kampung memudahkan orang ramai mengunjunginya justeru orang ramai diharap dapat meluangkan masa untuk bersama memeriahkan pesta ini nanti.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan dan Pesta Bungin 2012, bolehlah menghubungi Jawatankuasa Induk Pesta Bungin 2012 mengikut acara iaitu Zam Zam Hj Yakop (regata, 010-9704549), Baha Hj Suhaili (hiburan dan pementasan, 019-4386141), Ekhwan Hj Yakop (pertandingan bola sepak, 013-5763130), Ekhwan Hj Rajuli (pasarneka, 019-8164433), Mohd Zaidi Hj Yakop (pameran, 010-7871958) dan Abg Haris Abg Chee (publisiti dan siaraya, 014-8783698).

No comments:

Post a Comment