Thursday 20 September 2012

YAYASAN INOVASI MALAYSIA BANGUNKAN INOVASI BELIA SARAWAK DENGAN KOBIS



Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) baru-baru ini telah memetarai persefahaman untuk berkerjasama dalam mempromosi, menjejaki dan membangunkan aktiviti-aktiviti inovasi di Sarawak khususnya bagi golongan belia.

Persefahaman tersebut terjalin melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara kedua-dua buah pihak di Waterfront, Kuching bersempena dengan Karnival Sains & Inovasi Sarawak 2012 anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Dengan adanya persefahaman ini, YIM dan KOBIS akan berusahasama dengan lebih efektif dan efisen dalam menggendong misi mempromosikan serta membudayakan inovasi di Sarawak khususnya diperingkat akar umbi. Pelbagai program akan dilaksanakan di Sarawak bagi memastikan cetusan inovasi terus berkembang seiring dengan 2012 sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional.





Dr Mazalan Kamis, Ketua Pegawai Eksekutif YIM (kiri) berjabat tangan dengan En Zaiwin Kassim, Pengerusi KOBIS (kanan) semasa pertukaran MOU sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan YB 
Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).


Sesi pertukaran MOU tersebut adalah diantara pengerusi KOBIS, Encik Zaiwin Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr Mazalan Kamis sambil diperhatikan  oleh Ketua Menteri Sarawak, YB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan YB Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Ini merupakan ikatan kerjasama yang pertama buat KOBIS dengan agensi kerajaan yang secara lansungnya membantu mengetengahkan peranan KOBIS dengan lebih meluas dan berkesan lagi.

KOBIS merupakan sebuah koperasi yang fokus dalam aktiviti-aktiviti pembangunan belia melalui aspek keusahawanan, kerjaya & inovasi. Kini KOBIS telah dianggotai lebih 500 belia di seluruh Sarawak serta menjadi incubator maya kepada 16 usahawan muda. Matlamat utamanya adalah membimbing belia kearah kecemerlangan ekonomi melalui pendekatan pengupayaan ilmu serta teladan rakan sebaya.

YIM adalah organisasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang ditubuhkan bagi membudayakan inovasi kepada semua golongan di semua peringkat khususnya peringkat akar umbi. Melalui pelbagai program dan aktiviti YIM telah banyak menjejaki, mengetengahkan dan membantu inovasi-inovasi rakyat malaysia yang berpotensi untuk dimajukan ke peringkat penaiktarafan & pengkomersilan.



Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Encik Zaiwin Kassim,
Pengerusi KOBIS
Tel : 013-5730946

Puan Sharmila Salleh
Pegawai Kanan Komunikasi Korporat dan Hubungan Kerajaan
Tel : 03-8319 1714
Email :
sharmila@yim.my

No comments:

Post a Comment