Wednesday, 6 March 2013

PERDANA MENTERI KE SABAH TINJAU OP DAULAT.


Lahad Datu, 7 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berada di Sabah hari ini untuk meninjau sendiri perjalanan Op Daulat di pantai timur negeri itu. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengesahkan perkara itu berkata Perdana Menteri akan ke lapangan Op Daulat dalam operasi susulan dan penggeledahan di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini.

Hishammuddin berkata beliau yakin kehadiran Najib akan memberi semangat baharu kepada semua anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam Op Daulat, terutama setelah apa yang dilalui sepanjang operasi itu.

"Kalau diikutkan kehendak perdana menteri sejak hari pertama lagi beliau sudah mahu turun ke sini," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pukul 10 pagi di sini.

Hishammuddin berkata Najib dijadual memantau perjalanan dan akan diberi taklimat perkembangan terkini operasi.

"Secara peribadi saya dan Zahid cukup menunggu kehadiran beliau. Sebelum ini kami hanya menghubungi perdana menteri melalui telefon dan hari ini beliau sendiri turun untuk melihat sendiri keadaan di lapangan," katanya.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata selain bertujuan memantau perjalanan operasi dan memberi semangat kepada pasukan keselamatan, kedatangan Najib adalah untuk melihat kelengkapan logistik dan kebajikan anggota bertugas.

"Empat faktor ini yang menjadi latar belakang lawatan perdana menteri ke lapangan," katanya.

Beliau berkata ini bukan kali pertama Najib turun ke 'ground zero' kerana beliau yang pernah menjadi Menteri Pertahanan selama 14 tahun, telah ke Bosnia and Herzegovina, Timor Leste, Lubnan dan yang terakhir ke Gaza.

Pada sidang media itu Ahmad Zahid turut mengedarkan beberapa keping gambar berhubung operasi susulan dan penggeledahan yang dijalankan anggota keselamatan di Kampung Tanduo kepada media.- BERNAMA

Monday, 4 March 2013

Krisis Lahad Datu-Kenyataan Media YDH KPN




LAHAD DATU-Pasukan keselamatan telah melancarkan tindakan ‘offensive’ terhadap kumpulan pengganas yang bertapak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada jam 7.00 pagi tadi. Operasi ini dilaksanakan oleh PDRM bersama pihak ATM.
Sejak operasi ini dimulakan sehingga kini, masih terdapat tentangan dalam bentuk beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak musuh. Ketika ini ‘mopping up’ dan penggeledahan sedang dijalankan. Bagaimanapun, jumlah kematian dan kecederaan di pihak musuh masih belum dapat disahkan dan setakat ini tidak ada kemalangan di pihak pasukan keselamatan.
Oleh itu semua pihak dinasihatkan agar tidak membuat andaian atau spekulasi tentang sebarang kehilangan nyawa memandangkan operasi ini masih lagi berjalan. Berita-berita yang tidak tepat boleh menjejaskan operasi ini.
Orang ramai tidak perlu bimbang kerana operasi ini hanya dilancarkan di Kampung Tanduo sahaja. Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak masuk ke kawasan operasi dan seterusnya menerima arahan dan mematuhi nasihat pihak polis yang bertugas di sekatan jalanraya yang menghala ke Kampung Tanduo.
Sumber-FB Rasmi PDRM

MENDIANG ASP MICHAEL PADEL AKAN DISEMADI DI MAKAM PAHLAWAN SARAWAK






Mendiang ASP Michael Padel, 36, pegawai polis yang terkorban semasa serang hendap oleh kumpulan penceroboh bersenjata di Semporna, Sabtu lepas akan disemadikan di Makam Pahlawan di sini Rabu ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani hari ini berkata kerajaan negeri Sarawak telah mengarahkan supaya mendiang Michael disemadikan bersama-sama pahlawan Sarawak di makam itu yang termasuk penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB) Datuk Temenggung Kanang Langkau yang meninggal dunia Januari lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara penghormatan terakhir untuk mendiang Michael di Pangkalan Udara Pasukan Gerakan Udara Polis di sini, beliau berkata upacara pengebumian dijangka bermula pukul 11 pagi.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mendahului upacara penghormatan terakhir yang berlangsung dalam suasana pilu.

Sebelum itu, pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa mendiang Michael yang diiringi isterinya, Jabah Mingku, 35, dan anaknya Macluie Michael, 11, tiba kira-kira 5.30 petang, sebelum kerandanya dibawa keluar ke pusat pangkalan itu untuk upacara penghormatan terakhir.

Suasana pilu menyelubungi upacara itu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang termasuk warga polis dan tentera di sini. Selesai upacara itu, mayat mendiang Michael dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Tebakang, Serian, kira-kira 50km dari sini.- BERNAMA

ENAM ANGGOTA POLIS TERKORBAN DI SEMPORNA DINAIKKAN PANGKAT


Petaling Jaya, 4 Mac -Kesemua enam anggota polis yang maut dalam insiden serangan hendap oleh kumpulan bersenjata di sebuah kampung di Semporna, Sabah dinaikkan pangkat, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan perkara itu kepada beliau selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Supt Ibrahim Lebar, 52, dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, setibanya jenazah mereka di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas kenaikan pangkat ini. Mudah-mudahan ia dapat membantu mengurangkan beban keluarga mereka," kata Khalid kepada pemberita.

Turut terbunuh dalam serangan hendap Sabtu lepas di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna ialah ASP Micheal Padel, 36, Sarjan Baharin Hamid, 49, Sarjan Abdul Aziz Sakirun, 48, dan Koperal Salam Togiran, 42.

Khalid berkata PDRM akan menghulur bantuan lain yang layak diterima kepada keluarga mangsa.

Terdahulu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta ratusan pegawai dan anggota polis lain memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua jenazah.

Turut hadir isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah;
Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah; Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - BERNAMA

Sunday, 3 March 2013

KENYATAAN MEDIA PDRM!!!!



KEDUDUKAN ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN DIPERKUKUH DAN BERSEDIA

Lahad Datu, 3 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menegaskan bahawa keselamatan di Sabah terutama di tiga lokasi berlaku pencerobohan kumpulan bersenjata adalah terkawal.

"Saya juga telah memanggil Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin) untuk mengukuhkan kedudukan dengan mengambil kira apa yang berlaku di tiga lokasi itu.

"Mereka juga dalam keadaan bersedia untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di Residental Felda Sahabat kira-kira 130 kilometer dari sini. 

Beliau merujuk kepada tiga situasi iaitu penahanan tiga anggota penceroboh yang cuba keluar dari kawasan kepungan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, lima anggota polis mati ditembak di Kampung Seri Jaya Simunul di Semporna dan laporan pencerobohan 10 lelaki di Kampung Lumalong dan Kampung Dasar Lama di Kunak.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Zulkifeli, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Ismail meminta orang ramai agar jangan mempercayai khabar angin dan berita yang tidak disahkan oleh polis tentang apa yang berlaku di negeri ini.


Beliau berkata orang ramai tidak perlu membuat andaian melainkan disahkan pihak berkuasa terutama jika berdasarkan laporan di media sosial dan komunikasi lain.


Ismail sekali lagi menegaskan bahawa sehingga hari ini polis tidak pernah mengeluarkan perintah berkurung kepada penduduk di negeri ini.


Beliau turut memberi jaminan keselamatan kepada pelancong yang ingin datang ke negeri ini untuk bercuti. Sementara itu, Zulkifeli dalam sidang akhbar sama berkata penduduk di negeri
ini terutama masyarakat setempat di daerah ini tidak perlu bimbang kerana situasi adalah terkawal dan pihaknya berkerjasama rapat dengan polis dalam menangani situasi keselamatan.

"Saya dan Ketua Polis Negara telah merancang sesuatu dan kami boleh tangani situasi ini dengan kawalan keselamatan yang ketat," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya penduduk di daerah ini, Semporna dan Kunak menjalani kehidupan seperti biasa.

Zulkifeli berkata bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka, dua lagi batalion tambahan tentera dihantar hari ini dan ditempatkan di beberapa kawasan di kawasan pantai timur negeri ini.- BERNAMA 

SUMBER: BELIA BANGKIT

Wednesday, 27 February 2013

PDRM Bukan Hanjing Kerajaan!!!!! - Bakri Zinin




KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan dasar berkecuali dalam semua tindakan dan operasinya serta sama sekali tidak menyebelahi mana-mana parti politik ketika melaksanakan tanggungjawab.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin juga menegaskan dasar itu dipegang PDRM dalam menghadapi pilihan raya umum.

"Jadi janganlah bercakap kita ni 'anjing' kepada kerajaan atau bagai 'lembu dicucuk hidung' yang ikut sahaja telunjuk orang-orang tertentu dalam mencapai sesuatu hasrat.

"Ini kerana institusi kepolisan ini telah wujud sejak 206 tahun dan telah menunjukkan profesionalisme dari segi mengambil tindakan," katanya kepada Bernama dalam temu bual mengenai persiapan PDRM menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13), di sini.

Katanya mereka yang menuduh sedemikian perlu bertanggungjawab dan membuktikan PDRM sebagai 'alat kerajaan'.

Mohd Bakri berkata sikap berkecuali juga diamal PDRM ketika melakukan siasatan berhubung sebarang kes dan penyiasatan dilaksana tanpa rasa takut atau dipengaruhi mana-mana pihak.

Segala hasil siasatan termasuk yang membabitkan ahli politik, akan diserah kepada Peguam Negara dan merekalah yang menentukan sama ada perlu didakwa atau sebaliknya, katanya.

"Kita (PDRM) tak berhak dan (tidak) mempunyai kuasa (buat keputusan). Di sini sudah nampak kita telus," katanya.

Mengenai persediaan menghadapi PRU13, Mohd Bakri berkata PDRM diberi latihan dan kursus khas termasuk 'ex ballot III' bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik ketika proses itu berlangsung.

"Dari sudut penyiasatan pula, kita telah menjalankan kursus-kursus 'in service' berdasarkan kepada keperluan dalam pilihan raya," katanya.

Mohd Bakri berkata pegawai dan anggotanya telah dilatih dan bersedia sejak empat bulan lepas bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini.

"Kita juga telah berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Peguam Negara berkaitan dengan langkah-langkah dan tindakan kita bersama mereka," katanya.

Sebanyak 112,000 anggota polis akan terlibat bertugas pada PRU13. - Bernama

Monday, 25 February 2013

Pencerobohan Lahad Datu: Polis Akan Guna Undang-Undang





LAHAD DATU: Polis memutuskan untuk bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis akan menggunakan undang-undang berkaitan untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada kemasukan orang yang tidak berkenaan ke kawasan itu.

“Kita akan membuat keputusan selepas melihat pelbagai faktor termasuk mengkaji kawasan persekitaran dan dalaman sebelum bertindak. Kita menunggu masa yang sesuai dan ini bermakna tiada lagi rundingan. Kita akan berlandaskan undang-undang…kalau ingin dakwa di mahkamah kita akan gunakan…ini terpulang kepada kita.
“Kami tidak kira mereka datang dari mana sama ada dari Kesultanan Sulu… tapi kita tahu mereka adalah orang luar yang datang ke negara kita dan mencabuli undang-undang dan kedaulatan negara.

“Kita boleh lihat kesalahan itu banyak. Mungkin kita boleh mengambil tindakan di bawah kesalahan Kanun Keseksaan atau bersama undang-undang yang berkaitan,” katanya kepada pemberita di Kompleks Pasukan Polis Marin Lahad Datu di sini, Isnin.

Hamza berkata polis akan menggunakan pendekatan yang bersesuaian dan tidak akan berkrompomi terhadap isu pencerobohan ke atas negara ini bagi menjamin dan mempertahankan kedaulatan tanah air.
Beliau turut menafikan berlaku perbalahan sehingga mengakibatkan dua kematian di kawasan itu dan menambah pihaknya akan menyiasat perkara itu.

klik link untuk berita lanjut http://www.suaragenerasibaru.com/?p=70381